[BM] UPM lancar Hari Tanpa Kenderaan Bermotor di Kampus

SERDANG, 4 April – Universiti Putra Malaysia (UPM) melancarkan Hari Tanpa Bermotor UPM yang telah mula dilaksanakan pada bulan April dalam menyokong agenda Kampus Hijau di dalam kampus.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPM, Prof. Dato’ Dr. Muhammad Shatar Sabran berkata fasa pertama akan difokuskan di sekitar kolej-kolej kediaman lembah iaitu Kolej Kedua; Kolej Tun Dr. Ismail; Kolej Canselor; Kolej Kelima; Kolej Keenam; Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah; Kolej Tun Perak dan Kolej Pendeta Za’ba.

“Antara usaha yang telah dilakukan dalam menggalakkan pelajar mengaplikasikan  kampus hijau iaitu dengan memperkenalkan laluan berbasikal, laluan pejalan kaki berbumbung serta penggunaan bas dalam kampus menggunakan gas,” katanya.

Tambah beliau, Hari Tanpa Bermotor UPM akan mula dilaksanakan pada setiap hari Sabtu mulai jam 7 pagi hingga 10 pagi dan kerjasama dari semua pihak diharapkan bagi menjayakan perkara tersebut.

“Kita serius dalam melaksanakan perkara ini serta untuk menjayakan pelaksanaan tersebut ianya memerlukan satu perubahan pemikiran paradigma di kalangan pengguna jalan raya dalam kampus dalam melakukan satu perubahan.

“Saya akui pada awalnya akan terdapatnya tentangan tetapi kita tidak boleh patah semangat dalam memberi kesedaran kepada pelajar dan juga warga UPM mengenai kepentingan green agenda untuk dilaksanakan di dalam UPM,” katanya di sini.

Sementara itu, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dengan kerjasama UPM menganjurkan Program Kayuhan Hidup Sihat Basikal untuk kali ketiga di sekitar kawasan UPM.

Yang Dipertua MPSJ, Dato’ Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata program itu bertujuan membudayakan penggunaan basikal untuk beriadah.

“Program ini bertujuan untuk menerapkan gaya hidup sihat masyarakat serta meningkatkan hubungan antara komuniti Serdang bersama UPM dan MPSJ dan memupuk minat terhadap budaya hidup sihat melalui aktiviti berbasikal,” katanya.

Penyertaan kali ini telah menarik hampir 500 peserta daripada orang awam, staf dan pelajar UPM  dan keluarga. Terdapat dua kategori kayuhan iaitu Fun Ride 25km (basikal jenis Mountain/15 tahun ke atas) dan Family Ride 10km (semua jenis basikal/ibu bapa dan anak 7 tahun ke atas) dan penyertaan adalah percuma dan terbuka kepada orang awam. – UPM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>